KDN KAJI SEMULA 33 AKTA KESELAMATAN
Sebanyak 33 akta lama berkaitan keselamatan dan ketenteraman awam yang digubal lebih 50 tahun lalu akan dikaji dan dibuat pindaan. Ia melibatkan antara lain Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang digubal pada 1960, Akta Kediaman Terhad (1933), Akta Pencegahan Jenayah (1959), Akta Bahan Letupan (1957), Benda-benda Kakisan, Akta Letupan dan Senjata Untuk Menyerang (1958). Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan (1959), Akta Perniagaan Secondhand (1946), Akta Keadilan Jenayah (1953), dan Akta Pendaftaran Penjenayah dan Orang-orang yang Tidak Diingini (1960).
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (gambar) berkata, langkah tersebut bagi memastikan peruntukan dalam kesemua akta itu kekal relevan serta memberi manfaat kepada rakyat dan negara. Beliau berkata, kebanyakan akta berkenaan digubal semasa darurat bagi menangani ancaman komunis, tragedi 13 Mei dan konfrontasi yang dilihat tidak lagi sesuai dengan tuntutan semasa.
"Hari ini keadaan mungkin sudah berubah tetapi ancaman terhadap negara masih tetap wujud, kini tiada lagi ancaman komunis bagaimanapun muncul pula ancaman pengganas dan militan yang memerlukan pindaan tertentu terpaksa dilakukan. "Saya rasa rakyat tidak boleh marah kepada kerajaan malah mereka akan menuntut bagi memastikan akta-akta ini kekal relevan dengan tuntutan semasa," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.
0 komen:
Post a Comment