Laman Web Rasmi RELA Malaysia
Facebook Rasmi Platun 0464

Wednesday, August 28, 2013

RELA Kini Dikenali Sebagai Jabatan Sukarelawan Malaysia



Jemaah Menteri yang bermesyuarat hari ini bersetuju menjadikan pasukan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) sebagai sebuah jabatan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, selari dengan perubahan status tersebut, gelaran pangkat sedia ada turut akan ditukar kepada lambang-lambang pangkat yang diluluskan

"Kabinet yang bermesyuarat hari ini telah meluluskan bahawa Rela dikenali sebagai Jabatan Sukarelawan, tidak lagi sebagai sebuah pasukan tetapi jabatan," katanya ketika berucap melancarkan program Semarak Jalur Gemilang Rela di sini hari ini.

Sebelum ini, Ahmad Zahid dilaporkan berkata, cadangan pertukaran status Rela kepada jabatan antaranya bertujuan memberi peluang kenaikan pangkat dan menggalakkan penglibatan anggota Rela yang separa aktif dan tidak aktif terutama lepasan universiti.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, beliau yakin Rela dengan kepemimpinan yang ada mampu menggerakkan semangat kecintaan terhadap negara melalui gelombang kesukarelawan yang sedang dilaksana.

"Rela sememangnya telah melalui era transformasi yang membanggakan semenjak 2009. Ahli Rela telah melonjak daripada 540,000 kepada lebih kurang tiga juta," katanya. - UTUSAN ONLINE

Read more...

Sunday, August 25, 2013

Rela Sedia Bantu Polis Perangi Jenayah

 Ketua Pengarah Rela, Datuk Mustafa Ibrahim (hadapan kiri)

Pasukan Sukarelawan Malaysia (Rela) bersedia menggerakkan ahlinya bagi membantu pihak polis membendung kegiatan jenayah di seluruh negara.

Ketua Pengarah Rela, Datuk Mustafa Ibrahim berkata, pihaknya sedia menyenaraikan anggota yang terlatih bagi membantu pihak berkuasa mengekang jenayah berprofil tinggi terutama melibatkan senjata api sekiranya diperlukan.

"Anggota kami juga bersedia untuk ditempatkan di mana-mana kawasan termasuk di sempadan negara bagi mencegah penyeludupan senjata api secara haram," katanya kepada pemberita dalam majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri Rela Kelantan di Tok Bali di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kebimbangan banyak pihak berhubung kes bunuh menggunakan senjata api di negara ini termasuk di Bachok dan Pasir Puteh baru-baru ini.

Mustapa berkata, selain terlatih menghadapi penjenayah, anggota Rela turut mempunyai latar belakang dalam pelbagai bidang profesional seperti doktor, jurutera dan anggota tentera.

Katanya, anggota terbabit telah menunjukkan prestasi cemerlang ketika diberi tugas membantu polis di lapangan terbang dan mengawasi stesen-stesen minyak di sempadan negara.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya menyasarkan pengambilan sebanyak 20,000 anggota baharu terutama belia termasuk penuntut institusi pengajian tinggi tahun ini.

Mereka yang terlibat dalam perkhidmatan Rela akan dibayar elaun sebanyak RM6 sejam bagi anggota manakala peringkat pegawai RM7.80.

-- UTUSAN

Read more...

Tuesday, July 16, 2013

Ahmad Zahid Cadang Rela Dijadikan Jabatan

Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengemukakan cadangan kepada Kabinet untuk mendapat kelulusan bagi meletakkan Rela sebagai sebuah jabatan.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia akan dikemukakan dalam tempoh dua minggu lagi bertujuan memperkukuh peranan agensi itu.

"Ia akan dilaksanakan tanpa sebarang peruntukan tambahan dan penambahan jawatan.

"Agensi itu akan berfungsi lebih berkesan sebagai sebuah organisasi kesukarelawan yang dapat membantu polis dan lain-lain agensi keselamatan menjaga ketenteraman awam.

"Rela juga akan diberi bekalan dan peralatan sesuai dengan tugasan mereka, selain pakaian seragam ditukar kepada jenis celoreng digital," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis berbuka puasa bersama anggota Rela di Putrajaya, hari ini.

Ahmad Zahid berkata, langkah itu juga memberi peluang kenaikan pangkat dan menggalakkan penglibatan anggota Rela yang separa aktif dan tidak aktif terutama lepasan universiti.

"Rela juga diminta untuk mengklasifikasi tiga kategori bagi anggotanya iaitu aktif, separa aktif dan tidak aktif bagi membolehkan latihan tambahan diberi," katanya.

Katanya, KDN juga akan menentukan setiap ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang mendapat peruntukan, memberi bantuan RM20,000 untuk menyediakan pakaian anggota Rela di Parlimen masing-masing.

Selain itu, katanya, KDN memutuskan untuk melantik ahli-ahli Parlimen berkenaan dilantik sebagai ahli kehormat Rela.

Beliau berkata, kabinet juga memutuskan status pangkat Rela akan dibezakan dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

"Nama pangkat itu akan diumumkan kelak dan digazet," katanya.

Read more...
Kembali ke atas

Sila lihat ARKIB BLOG untuk senarai artikel yang telah disiarkan.
2009 © Hak Cipta RELA Platun 0464

RELA 0464 tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang kehilangan atau kerosakan yang diakibatkan oleh penggunaan maklumat yang dicapai daripada laman ini. Anda adalah dilarang mengambil, meniru, mencetak atau apa-apa yang seumpanya dari laman ini tanpa kebenaran terlebih dahulu daripada pihak Blogmaster.

  © 2009 HAK CIPTA RELA 0464

Back to TOP