Ahmad Zahid Cadang Rela Dijadikan Jabatan
Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengemukakan cadangan kepada
Kabinet untuk mendapat kelulusan bagi meletakkan Rela sebagai sebuah
jabatan.
Menterinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia akan
dikemukakan dalam tempoh dua minggu lagi bertujuan memperkukuh peranan
agensi itu.
"Ia akan dilaksanakan tanpa sebarang peruntukan tambahan dan penambahan jawatan.
"Agensi itu akan berfungsi lebih berkesan sebagai sebuah organisasi
kesukarelawan yang dapat membantu polis dan lain-lain agensi keselamatan
menjaga ketenteraman awam.
"Rela juga akan diberi bekalan dan peralatan sesuai dengan tugasan
mereka, selain pakaian seragam ditukar kepada jenis celoreng digital,"
katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis berbuka puasa bersama anggota Rela di Putrajaya, hari ini.
Ahmad Zahid berkata, langkah itu juga memberi peluang kenaikan pangkat
dan menggalakkan penglibatan anggota Rela yang separa aktif dan tidak
aktif terutama lepasan universiti.
"Rela juga diminta untuk mengklasifikasi tiga kategori bagi anggotanya
iaitu aktif, separa aktif dan tidak aktif bagi membolehkan latihan
tambahan diberi," katanya.
Katanya, KDN juga akan menentukan setiap ahli Parlimen Barisan Nasional
(BN) yang mendapat peruntukan, memberi bantuan RM20,000 untuk
menyediakan pakaian anggota Rela di Parlimen masing-masing.
Selain itu, katanya, KDN memutuskan untuk melantik ahli-ahli Parlimen berkenaan dilantik sebagai ahli kehormat Rela.
Beliau berkata, kabinet juga memutuskan status pangkat Rela akan dibezakan dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
"Nama pangkat itu akan diumumkan kelak dan digazet," katanya.