Rela Sedia Gerak Anggota Bantu KPDNKK - Ketua Pengarah
Rela sedia menggerakkan 3.6 juta anggotanya bagi membantu
membanteras segelintir peniaga yang tidak bertanggungjawab menaikkan harga
barangan secara tidak terkawal.
Ketua Pengarahnya, Kamariah Mohd. Noah berkata, pihaknya
sangat mengalu-alukan kerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri,
Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) sekali gus dapat mengiktiraf keupayaan Rela.
“Saya sangat terharu apabila anggota Rela diberi kepercayaan
oleh pihak kementerian untuk sama-sama turun padang bagi membasmi aktiviti
penipuan yang dilakukan oleh segelintir peniaga.
“Walau bagaimanapun, pihak kami tidak dapat memberitahu
secara terperinci berkenaan kerjasama tersebut sehingga mesyuarat diadakan oleh
semua pihak yang terlibat terutamanya KPDNKK,” katanya ketika dihubungi Utusan
Malaysia di sini hari ini.
Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad
Zahid Hamidi berkata, anggota Rela akan membantu pegawai penguat kuasa KPDNKK
dalam melakukan pemantauan dan operasi kawalan harga bagi memastikan
penguatkuasaan dapat dijalankan dengan berkesan dan menyeluruh.
Tambah Kamariah, anggota Rela sedia berkhidmat dan tidak
mempunyai halangan untuk bekerjasama dengan mana-mana agensi.
Sementara itu, Ketua Setiausaha KPDNKK, Datuk Seri Alias
Ahmad berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan secara menyeluruh bersama
Rela dalam tempoh terdekat.
“Mesyuarat akan tertumpu kepada penurunan kuasa yang
melibatkan akta-akta KPDNKK. Hal ini bagi memastikan anggota Rela dapat
memahami konsep Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011, Akta Perihal
Dagangan 2011, penandaan harga barangan, produk tiruan dan sebagainya.
Mengulas lanjut katanya, isu elaun juga akan dibincangkan
selain mengetahui kaedah sesuai membabitkan aspek pembayaran.
Langkah kerajaan menggerakkan 3.6 juta ahli Jabatan
Sukarelawan Malaysia (Rela) membantu pasukan penguat kuasa Kementerian
Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) melakukan
pemantauan harga barangan disifatkan tepat pada masanya.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM),
Datuk Nadzim Johan berkata, dengan kehadiran ramai ahli Rela dalam kerja
pemantauan, aktiviti menaikkan harga barang diharap dapat dibendung secara
menyeluruh.
“Anggota Rela perlu melakukan pemantauan setiap hari supaya
dapat menggerunkan peniaga yang sering mengambil kesempatan dengan menaikkan
harga barang sesuka hati sejak pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST).
“Mereka juga perlu menghadiri kursus asas untuk kerja
pemantauan yang lebih berkesan supaya dapat mengetahui apa yang perlu
dipantau,” katanya.
0 komen:
Post a Comment