RELA Sedia Dikerah Hadapi Gempa Bumi Susulan
BUKIT MERTAJAM - Sebanyak 200,000 anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) di Sabah sedia dikerah bagi menghadapi kemungkinan gempa bumi susulan yang lebih kuat di negeri itu.
Ketua Pengarahnya Lukeman Saaid berkata selain itu Pasukan Pengurusan Krisis (CMT) di 25 daerah di Sabah juga diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga bagi menyelaraskan penugasan anggota Rela yang lain.
"Setiap daerah mempunyai 50 anggota tetap CMT. Mereka ini diletakkan di barisan hadapan dan akan berhubung dengan ketua platun dan ketua Rela daerah untuk koordinasi tugas," katanya kepada pemberita pada majlis penutup kem tahunan Relasis di Politeknik Seberang Perai di sini hari ini.
Akhbar hari ini melaporkan Pakar Geologi Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan berkata Sabah mungkin berdepan risiko gegaran lebih besar selepas menerima 54 gegaran susulan sejak gempa bumi melanda Ranau, Sabah Jumaat lepas.
Mohamad Ali berkata, gegaran susulan yang terlalu banyak itu dianggap luar biasa dan kemungkinan gempa bumi yang lebih kuat akan berlaku tidak boleh diketepikan.
Dalam pada itu Lukeman berkata Rela juga sedia mengkaji silibus dan modul latihan baharu untuk meningkatkan kecekapan dan kesiapsiagaan anggotanya dalam menghadapi bencana seumpama itu.
"Anggota Rela biasanya membantu mengedar makanan atau pakaian di kawasan bencana. Namun mengambil kira perkembangan kini, penambahbaikan dalam latihan akan dilakukan termasuk ketika gempa.
"Latihan-latihan yang diberi kepada anggota Rela juga akan dikaji supaya sentiasa sesuai dengan keadaan dan keperluan semasa," katanya.
Gempa bumi berukuran 5.9 pada skala Richter itu berlaku kira-kira 7.15 pagi Jumaat dan 16 orang rakyat tempatan serta warga asing disahkan terkorban setakat ini. - Bernama
0 komen:
Post a Comment