Laman Web Rasmi RELA Malaysia
Facebook Rasmi Platun 0464

Wednesday, June 10, 2015

Anggota RELA Diingat Tidak Salah Guna Kuasa - KP

Anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA) diingatkan supaya tidak menyalahgunakan kuasa melalui pangkat yang diberikan kepada mereka.

Ketua Pengarahnya, Lukeman Saaid berkata pemberian pangkat kepada anggota RELA tidak bermakna mereka bebas melakukan apa sahaja, sebaliknya merupakan anugerah bagi menghargai komitmen, dedikasi dan sumbangan mereka dalam setiap program yang dijalankan oleh badan itu.

"Sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab, setiap anggota perlu mematuhi segala peraturan negara ini, dan tiada pengecualian," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Penganugerahan Pangkat Bersekutu di Hotel Ritz Garden malam tadi.

Lukeman berkata RELA akan mengambil tindakan tegas terhadap anggota yang didapati menyalah guna kuasa atau menjatuhkan imej badan itu.

Beliau berkata Bahagian Pembangunan RELA juga telahpun diarah memberi latihan kepada ahli bersatu dan kehormat di pusat latihan badan itu untuk memberi pemahaman mengenai fungsi serta peranan sebenar RELA kepada setiap anggota.

Pada majlis itu, sejumlah 49 individu dianugerah Pangkat Bersekutu bagi menghargai pengorbanan, jasa serta komitmen mereka terhadap RELA Malaysia selain membantu aktiviti kemasyarakatan.

"Inilah cara kami membalas budi dan jasa mereka dengan menjadikan mereka sebahagian daripada keluarga besar kami yang mempunyai hampir 3 juta anggota dan 1,595 ahli kehormat dan bersekutu di seluruh Malaysia," katanya.

-- BERNAMA, 9 Jun

Read more...

Tuesday, June 9, 2015

RELA Sedia Dikerah Hadapi Gempa Bumi Susulan

BUKIT MERTAJAM - Sebanyak 200,000 anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) di Sabah sedia dikerah bagi menghadapi kemungkinan gempa bumi susulan yang lebih kuat di negeri itu.
   
Ketua Pengarahnya Lukeman Saaid berkata selain itu Pasukan Pengurusan Krisis (CMT) di 25 daerah di Sabah juga diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga bagi menyelaraskan penugasan anggota Rela yang lain.
   
"Setiap daerah mempunyai 50 anggota tetap CMT. Mereka ini diletakkan di barisan hadapan dan akan berhubung dengan ketua platun dan ketua Rela daerah untuk koordinasi tugas," katanya kepada pemberita pada majlis penutup kem tahunan Relasis di Politeknik Seberang Perai di sini hari ini.
   
Akhbar hari ini melaporkan Pakar Geologi Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan berkata Sabah mungkin berdepan risiko gegaran lebih besar selepas menerima 54 gegaran susulan sejak gempa bumi melanda Ranau, Sabah Jumaat lepas.
   
Mohamad Ali berkata, gegaran susulan yang terlalu banyak itu dianggap luar biasa dan kemungkinan gempa bumi yang lebih kuat akan berlaku tidak boleh diketepikan.
   
Dalam pada itu Lukeman berkata Rela juga sedia mengkaji silibus dan modul latihan baharu untuk meningkatkan kecekapan dan kesiapsiagaan anggotanya dalam menghadapi bencana seumpama itu.
   
"Anggota Rela biasanya membantu mengedar makanan atau pakaian di kawasan bencana. Namun mengambil kira perkembangan kini, penambahbaikan dalam latihan akan dilakukan termasuk ketika gempa.
   
"Latihan-latihan yang diberi kepada anggota Rela juga akan dikaji supaya sentiasa sesuai dengan keadaan dan keperluan semasa," katanya.
   
Gempa bumi berukuran 5.9 pada skala Richter itu berlaku kira-kira 7.15 pagi Jumaat dan 16 orang rakyat tempatan serta warga asing disahkan terkorban setakat ini. - Bernama

Read more...
Kembali ke atas

Sila lihat ARKIB BLOG untuk senarai artikel yang telah disiarkan.
2009 © Hak Cipta RELA Platun 0464

RELA 0464 tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang kehilangan atau kerosakan yang diakibatkan oleh penggunaan maklumat yang dicapai daripada laman ini. Anda adalah dilarang mengambil, meniru, mencetak atau apa-apa yang seumpanya dari laman ini tanpa kebenaran terlebih dahulu daripada pihak Blogmaster.

  © 2009 HAK CIPTA RELA 0464

Back to TOP