Anggota RELA Digesa Bina Keyakinan Diri
Pegawai Rela Daerah, Jasma Khamis (kiri) menerima sijil penyertaan
daripada Adham (dua, kanan) pada program berkenan, baru-baru ini.
BANDAR TENGGARA – Anggota Pasukan Relawan Malaysia (Rela) disarankan mempunyai integriti tinggi bagi membina keyakinan dan kepercayaan terhadap pasukan itu di mata masyarakat.
Adun Pasir Raja, Datuk Dr Adham Baba berkata, dunia tanpa sempadan dilihat sebagai cabaran yang perlu dihadapi anggota Rela.
Menurutnya, anggota rela perlu mewujudkan satu pasukan yang cekap, penuh berwibawa dan dapat memberikan khidmat terbaik kepada masyarakat.
“Malah seiring perkembangan itu, anggota Rela perlu melengkapkan diri untuk menjadi satu pasukan keselamatan bertaraf global dengan meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam melaksanakan tugas.
“Maklumat dan ilmu pengetahuan perlu didedahkan mengikut trend terkini supaya mereka dapat menjalankan tugas selari dengan keperluan masyarakat,” katanya ketika menutup rasmi Program Kursus Mesra Pasukan Relawan Malaysia Peringkat Mukim Ulu Sungai Johor di Kawasan Lapang Jambatan Sungai Sayong, baru-baru ini.
Adham berkata, anggota Rela perlu menentukan peningkatan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) supaya mereka dapat menjalankan tugas dengan sempurna.
“Anggota Rela perlu mengubahsuaikan diri mereka dalam menjalankan tugas ini mengikut peraturan yang ditetapkan dan mengiktiraf hak asasi manusia,” katanya.
Terdahulunya, seramai 208 anggota daripada 21 platun Rela menyertai kursus dua hari yang turut disertai Pegawai Rela Daerah, Jasma Khamis dan Pengerusi Rela Mukim Ulu Sungai Johor, Asmawi Surib.
Hadir sama, Ketua Wanita Umno Bahagian Tenggara, Datin Salasiah Idris dan pengerusi penganjur, Mohamed Ameran Sohiran.