KUALA LUMPUR 10 Nov. - Genap 19 hari pemburuan pasukan polis terhadap
pengawal keselamatan yang membunuh seorang pengawai operasi AmBank di
Subang Jaya, Selangor pada 23 Oktober lalu, suspek warga Indonesia itu
akhirnya berjaya ditangkap hari ini.
Suspek yang dikenali sebagai Ardi Hamza, 37, ditangkap di Kampung Belungkor, Kota Tinggi, Johor pukul 7 pagi ini.
Difahamkan suspek tidak menetap di kampung itu sebaliknya sering
berpindah-randah di beberapa rumah termasuk di premis kosong untuk
dijadikan tempat persembunyian bagi mengelak aktivitinya dikesan polis
dan orang ramai.
Suspek juga dipercayai sukar untuk mendapatkan bantuan saudara dan
rakannya untuk keluar dari negara ini berikutan pemantauan ketat pihak
berkuasa.
Bagaimanapun tidak dapat dipastikan sama ada wang rompakan RM450,000
yang dilarikan dalam kejadian itu ditemukan semula. Polis sebelum ini
merampas wang berjumlah RM20,000 selepas menahan tiga suspek termasuk
isterinya.
Ketua Polis Negara. Tan Sri Khalid Abu Bakar mengucapkan syabas
kepada pasukan Op Cantas Khas yang berjaya menahan suspek serta
mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia membantu polis.
Syabas, pasukan Op Cantas Bukit Aman telah berjaya tangkap pembunuh
dan perompak kejam AmBank di Johor pagi ini. Terima kasih rakyat
Malaysia yang membantu PDRM," katanya dalam laman Twitter rasminya hari
ini.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis
Bukit Aman, Datuk Hadi Ho Abdullah berkata, lelaki yang ditahan dalam
serbuan oleh pasukan Op Cantas Khas Ibu Pejabat Polis Bukit Aman itu
merupakan suspek utama dalam kejadian samun AmBank, bulan lalu.
Dengan penahanan ini kita anggap kes tersebut berjaya diselesaikan.
Malah polis merakamkan ucapan terima kasih kepada orang ramai di atas
kerjasama serta keprihatinan yang diberikan sepanjang siasatan kes
berlangsung," katanya.
Pembunuhan kejam Allahyarham Norazita Abu Talib, 37, yang ditembak
dari jarak dekat oleh seorang pengawal keselamatan di AmBank cawangan
Subang Jaya menggemparkan negara.
Mangsa yang ketika itu berada di dalam bilik kebal bank bersama seorang kakitangan wanita ditembak dengan pump gun.
Suspek yang bertugas sebagai pengawal keselamatan di beberapa buah
bank berdekatan kemudian disahkan sebagai warga asing dan menggunakan
kad pengenalan palsu ketika memohon kerja di sebuah syarikat keselamatan
itu.
Jenayah yang dilakukan suspek kemudian membawa kepada pembongkaran
aktiviti sebilangan warga asing khususnya dari Indonesia dan Filipina
yang menyamar sebagai rakyat Sabah untuk memohon pekerjaan sebagai
pengawal keselamatan.
Dalam perkembangan sama, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten
Komisioner Yahaya Ramli mengesahkan suspek direman selama tujuh hari
bermula hari ini sehingga 16 November ini mengikut Seksyen 302 Kanun
Keseksaan kerana membunuh.
Perintah tahanan reman itu dikeluarkan oleh Majistret Nazri Omran
pada pukul 4.40 petang di Kompleks Mahkamah Petaling Jaya, sebaik sahaja
suspek tiba dari Kota Tinggi diiringi sepasukan pegawai Cawangan
Jenayah Berat (D9) Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Kontinjen Polis
Selangor menaiki empat buah kenderaan.
-- Utusan
Read more...