PEGAWAI Imigresen memeriksa PATI yang ditahan di tapak pembinaan di Kota Seriemas, Nilai, Negeri Sembilan, semalam.
Lebih 1,000 orang pendatang asing tanpa izin
(PATI) ditahan dalam operasi menggempur PATI dikenali Ops 6P Bersepadu
yang dilancarkan kerajaan di seluruh negara secara besar-besaran bermula
tengah malam tadi.
Ops 6P Bersepadu yang akan dijalankan menerusi beberapa fasa sehingga
31 Disember ini adalah bagi memburu 400,000 PATI selain 45,000 majikan
yang masih berdegil menggaji golongan itu.
Di
PUTRAJAYA, seramai 71 PATI ditahan di dua lokasi serbuan
iaitu di Bukit Raja, Klang dan Kota Serimas, Putrajaya dalam fasa satu
operasi tersebut bermula pukul 12 tengah malam tadi sehingga pukul 6
pagi.
Operasi itu disertai seramai 150 anggota melibatkan Imigresen, Polis
Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Ikatan Relawan
Rakyat Malaysia (Rela), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan
Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).
Timbalan Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Imigresen, K. Saravanan
berkata, kesemua PATI yang ditahan itu adalah daripada 160 orang yang
diperiksa dan merupakan warga Indonesia, Bangladesh, Nepal dan Myanmar.
"Hasil pemeriksaan, mereka didapati tiada dokumen pengenalan diri,
disyaki menggunakan pas lawatan palsu dan tinggal melebihi tempoh
ditetapkan.
"Kita dapati masih ada majikan ingkar arahan dengan menggaji PATI,
justeru operasi ini adalah amaran keras buat mereka untuk berhenti
berbuat demikian sebelum ditangkap," katanya ketika ditemui selepas
tamat operasi.
Menurut Saravanan, Ops 6P Bersepadu yang melibatkan 135,000 anggota
pelbagai agensi di seluruh negara itu merupakan permulaan untuk mengesan
saki baki PATI yang gagal menjalani proses pemutihan yang dijalankan
kerajaan sebelum ini.
Pada 23 Ogos lalu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengumumkan akan
melakukan operasi bersepadu besar-besaran untuk menangkap PATI yang
bekerja tanpa permit di seluruh negara bermula 1 September.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata,
operasi melibatkan Imigresen, polis serta agensi lain di bawah
kementerian itu akan memberi tumpuan kepada kawasan perladangan, kilang,
perniagaan dan tapak pembinaan.
Di
SEREMBAN, seramai 621 PATI warga Bangladesh, Indonesia,
Vietnam dan Pakistan, berusia antara enam hingga 60 tahun ditahan dalam
operasi serentak di lapan buah daerah di negeri ini bermula pagi ini
sehingga petang ini.
Pengarah Jabatan Imigresen negeri, Faizal Fazri Othman berkata,
operasi dijalankan di beberapa lokasi tumpuan seperti stesen bas,
komuter, pusat beli-belah, rumah kedai dan tapak pembinaan.
Di
KAMPAR, seramai 12 PATI warga Indonesia, Pakistan dan
Bangladesh termasuk seorang wanita ditahan hasil pemeriksaan 114 orang
dalam operasi di rumah kongsi di Bandar Baru Kampar dekat sini awal pagi
ini.
Timbalan Penolong Pengarah Kanan Imigresen Perak, Wan Mahmud Zuhdi
Wan Hassan berkata, daripada yang ditahan, 10 orang didapati tidak
memiliki dokumen perjalanan manakala bakinya tinggal lebih masa dan
memalsukan pas lawatan kerja sementara.
Di
MELAKA, seramai 414 PATI ditahan daripada 925 warga asing
yang diperiksa oleh Imigresen negeri dalam operasi di sebuah pangsapuri
di Bachang dan sebuah pusat hiburan di Taman Melaka Raya di sini malam
tadi.
Pengarah Jabatan Imigresen negeri,
Kamalludin Ismail berkata,
daripada tangkapan itu, seramai 203 orang ialah warganegara Indonesia,
Myanmar (100), Nepal (63), Bangladesh (21), China (11), India (10),
Vietnam (6) dan tempatan (1).
Di
JOHOR BAHRU, Imigresen Johor menahan seramai 127 PATI warga
Kemboja, Vietnam, Indonesia dan Myanmar dalam dua operasi serentak di
Ulu Tiram di sini dan Muar awal pagi ini.
Penolong Pengarah Imigresen Johor, Masri Adul berkata, mereka yang
ditahan dalam operasi bermula pukul 1 pagi itu terdiri daripada 65
lelaki, wanita (40), kanak-kanak lelaki (10) dan kanak-kanak perempuan
(13).
Di
KUANTAN, Jabatan Imigresen Pahang menahan seramai 49 PATI
daripada 139 warga asing yang diperiksa dalam operasi di sebuah tapak
pembinaan di Gambang di sini awal pagi ini.
Ketua operasinya, Razali Ahmad
berkata, mereka yang ditahan
terdiri daripada 31 warga Bangladesh, Myanmar (12) dan Indonesia (3)
kerana tidak mempunyai dokumen sah, melanggar syarat permit dan memiliki
dokumen palsu.
Di
KUCHING, Jabatan Imigresen negeri menahan seramai 90 PATI
dalam serbuan di beberapa lokasi seperti ladang, rumah urut dan pasar di
sekitar bandar ini dalam operasi bermula tengah malam tadi.
Pengarahnya, Datuk Robert Lian berkata, mereka yang ditahan terdiri
daripada 69 warga Indonesia, Bangladesh (10), India (8) dan
masing-masing seorang Myanmar, Vietnam serta Pakistan.
-- UTUSAN
Read more...