Laman Web Rasmi RELA Malaysia
Facebook Rasmi Platun 0464

Sunday, November 16, 2014

Tidak Perlu Tubuh Sukarelawan Untuk Tangkap PATI


Penulis ingin mengulas mengenai berita yang bertajuk Tubuh Sukarelawan Tangkap PATI dalam akhbar Mingguan Malaysia bertarikh 16 November 2014.

Pada pandangan penulis, cadangan tersebut amatlah tidak bernas dan jelas menunjukkan mereka yang terlibat dalam memberikan cadangan tersebut langsung tidak tahu berkenaan dengan operasi penangkapan PATI. Maka dengan itu, penulis menyatakan bahawa cadangan tersebut amatlah tidak perlu.

Mengapa penulis berkata begitu? Untuk pengetahuan para pembaca, kebiasaannya operasi penangkapan PATI akan melibatkan pelbagai agensi dan jabatan kerajaan. Antara yang terlibat ialah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN),  Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Salah satu jabatan kerajaan yang mereka terlepas pandang ialah pasukan RELA. Bukankah ini merupakan pasukan yang melibatkan penyertaan sukarelawan-sukarelawan yang terdiri daripada pelbagai kaum dan bangsa rakyat Malaysia.

Untuk pengetahuan pembaca, pasukan RELA telah sekian lama membantu dalam pengoperasian penangkapan PATI malah anggota-anggotanya sentiasa bersedia untuk dikerah pada bila-bila masa.

Sebagai tanda pengiktirafan, pasukan ini telah dinaiktaraf menjadi sebuah jabatan dibawah Kementerian Dalam Negeri.

Maka dengan itu tidak perlu lagi sebuah entiti SUKARELAWAN dalam menangani permasalahan PATI ini. Sudah cukup memadai dengan penyertaan pelbagai agensi dan jabatan dalam operasi penangkapan PATI.

Penulis menyarakan kepada para pemberi cadangan tersebut, apa kata anda semua dan anak-anak buah dibawah anda sertai pasukan RELA ini dan bantu pihak berkuasa dalam operasi penangkapan PATI. Jangan hanya sekadar bagi cadangan untuk mendapatkan glamour sahaja.

Cadangan tersebut pula datang daripada pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan kita boleh lihat pada masa kini, pelbagai pertubuhan bukan kerajaan yang wujud dan tumbuh bak cendawan.

Jika dilihat pada frasa ayat ini, "Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bercadang untuk menubuhkan pasukan sukarelawan", jelas menunjukkan bahawan pasukan sukarelawan yang dicadang untuk ditubuhkan adalah melibatkan NGO-NGO yang tumbuh bak cendawan ini.

Jadi jika mahu beri cadangan, lihat dulu kesesuainya. Penangkapan PATI melibatkan peruntukan undang-undang. Sudah semestinya undang-undang berkenaan tidak boleh sewenang-wenangnya dikuatkuasakan oleh pihak lain terutamanya NGO-NGO yang tidak mempunyai sebarang kuasa tangkapan.

Walau bagaimanapun, penulis yakin cadangan yang dilontarkan itu lahir dari hati mereka yang ikhlas ingin membantu. Tetapi negara kita mempunyai undang-undang, jadi ikutlah laluan yang sepatutnya.

Mari sertai kami dalam pasukan RELA, bersama-sama membantu dalam menjaga keselamatan dan kedaulatan negara.

- Ini hanya pandangan admin blog ini dan tidak mewakili pasukan ini.

Read more...
Kembali ke atas

Sila lihat ARKIB BLOG untuk senarai artikel yang telah disiarkan.
2009 © Hak Cipta RELA Platun 0464

RELA 0464 tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang kehilangan atau kerosakan yang diakibatkan oleh penggunaan maklumat yang dicapai daripada laman ini. Anda adalah dilarang mengambil, meniru, mencetak atau apa-apa yang seumpanya dari laman ini tanpa kebenaran terlebih dahulu daripada pihak Blogmaster.

  © 2009 HAK CIPTA RELA 0464

Back to TOP