Laman Web Rasmi RELA Malaysia
Facebook Rasmi Platun 0464

Thursday, October 31, 2013

Info : Hampir 90 Peratus Minyak Masak Kitar Semula

KUALA LUMPUR -- Hampir 90 peratus minyak masak di pasaran dipercayai hasil daripada kegiatan kitar semula minyak masak yang telah digunakan.

Perkara itu didedahkan Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan yang sekali gus mendesak kerajaan memandangkan serius isu terbabit kerana boleh menjejaskan kesihatan pengguna.

Malah, menurut beliau, aktiviti kutipan, penghasilan dan jualan minyak masak terpakai telah lama berlaku di negara ini serta merupakan satu industri yang besar.

Lebih mengejutkan lagi, sebahagian besar minyak masak dikitar semula itu dijual dalam bentuk paket.
“Mereka (pengusaha) membeli minyak masak terpakai di restoran makanan segera untuk dikitar semula dan kemudiannya dicampur dengan minyak baharu," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, hasil soal selidik yang dijalankan aktivis PPIM melibatkan kira-kira 70 buah restoran dan gerai makan di beberapa kawasan di sekitar Kuala Lumpur mendapati kebanyakan peniaga menggunakan minyak masak kitar semula.

“Minyak masak yang dipaketkan itu bukan daripada jenama terkenal dan ramai peniaga yang tidak sedar mereka menggunakan minyak masak kitar semula," katanya.

Menurut Nadzim, status halal minyak masak itu juga meragukan kerana mungkin diambil daripada restoran bukan Islam.

Sehubungan itu, katanya, pihak berkaitan seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Kementerian Kesihatan, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan perlu bekerjasama membanteras aktiviti tersebut.

“Selain menipu pengguna, pengusaha terlibat turut mengeksport minyak masak itu dengan mendakwa produk tersebut adalah halal," katanya.

Sementara itu, Pengurus Pembangunan Perniagaan Kris Biofuels Sdn. Bhd., Ja’afar Abdullah memberitahu, aktiviti kutipan dan jualan minyak masak terpakai melanggar undang-undang dan peraturan MPOB.

Katanya, lesen yang dikeluarkan MPOB dengan jelas menyatakan penggunaan minyak masak kitar semula hanya bagi tujuan menghasilkan produk biofuel.

“Isu ini wajar ditangani segera kerana dari segi kesihatan minyak masak ini jika digunakan semula sebanyak tiga kali akan menghasilkan komponen radikal bebas yang boleh mengakibatkan kanser dan kerosakan hati," katanya.

Sumber : Utusan Online

Read more...

Wednesday, October 30, 2013

Selangor Catat Jenayah Tertinggi

KUALA LUMPUR -- Selangor menjadi negeri yang mencatatkan jumlah kes serta tangkapan jenayah tertinggi berbanding negeri lain dari Januari sehingga September tahun ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebanyak 18,063 kes narkotik juga dilaporkan berlaku di negeri itu dengan 18,602 daripadanya membabitkan tangkapan terutamanya kesalahan pengedaran, pemilikan, penyalahgunaan dan penagihan dadah.

Bagi jenayah indeks pula, beliau memberitahu, Selangor mencatatkan sejumlah 32,348 kes sepanjang tempoh berkenaan, paling tinggi berbanding negeri-negeri lain.

“Daripada jumlah jenayah indeks itu, sebanyak 6,523 kes merupakan jenayah kekerasan membabitkan kes bunuh, rogol dan samun manakala 25,825 kes lagi merupakan jenayah harta benda iaitu kes curi, ragut dan pecah rumah," katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen hari ini.

Beliau menjawab soalan Er Teck Hwa (DAP-Bakri) berhubung statistik setiap kes jenayah pecah rumah, ragut, rogol, pengedaran dan penyalahgunaan dadah mengikut kawasan ibu pejabat polis daerah dari 2008 hingga 2013.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid memberitahu, dalam tempoh tersebut, jumlah tangkapan bagi pelbagai kesalahan narkotik di seluruh negara mencecah 129,608.

Katanya, bagi jumlah kes jenayah indeks di seluruh negara pula, sebanyak 111,020 kes dicatatkan dalam Januari hingga September tahun ini.

Read more...

Thursday, October 3, 2013

Program Pemutihan PATI Akan Dihentikan - TPM

Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri

Kerajaan akan menghentikan proses pemutihan Pendatang Tanpa Izin, PATI, menerusi program 6P. Perkara itu diputuskan pada Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet mengenai pekerja asing dan PATI, semalam.

Mesyuarat dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di bangunan Parlimen. Ia turut menetapkan majikan yang ditipu ketika menguruskan pemutihan PATI, boleh merujuk perkara itu dengan Kementerian Dalam Negeri untuk diteliti menerusi Program Khas Pengurusan Pati PKPP.

Objektif program adalah untuk menyelesaikan permohonan oleh majikan yang tidak dapat memutihkan pati disebabkan penipuan oleh agensi atau syarikat pengurus.

Program itu akan dilaksanakan serentak dengan Ops 6P Bersepadu. Sehubungan itu, majikan terbabit perlu mengemukakan laporan polis berhubung penipuan yang berlaku antara 1 September 2011 dan 10 September 2013.

Program ini akan dilaksanakan secara kerajaan kepada kerajaan dan tidak membabitkan ejen atau orang tengah. Program akan dilaksanakan selama tiga bulan mulai 21 Oktober ini hingga 20 Januari 2014.

Read more...
Kembali ke atas

Sila lihat ARKIB BLOG untuk senarai artikel yang telah disiarkan.
2009 © Hak Cipta RELA Platun 0464

RELA 0464 tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang kehilangan atau kerosakan yang diakibatkan oleh penggunaan maklumat yang dicapai daripada laman ini. Anda adalah dilarang mengambil, meniru, mencetak atau apa-apa yang seumpanya dari laman ini tanpa kebenaran terlebih dahulu daripada pihak Blogmaster.

  © 2009 HAK CIPTA RELA 0464

Back to TOP