Laman Web Rasmi RELA Malaysia
Facebook Rasmi Platun 0464

Friday, September 27, 2013

PATI Miliki Pasport Boleh Daftar Sebagai Pekerja

Ahmad Zahid Hamidi bersalaman dengan H.A Muhaimin Iskandar yang mengunjungi beliau di pejabat Kementerian Dalam Negeri, Putrajaya semalam

PUTRAJAYA -- Warga Indonesia yang memiliki pasport sah tetapi tidak melalui proses pemutihan sebelum ini diberi tempoh selama tiga bulan bermula pertengahan Oktober depan untuk mendaftarkan diri sebagai pekerja asing yang sah di negara ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, tindakan tersebut perlu kerana berdasarkan Program Penyelesaian Menyeluruh Pendatang Asing Tanpa Izin (6P) terdapat kira-kira 460,000 warga Indonesia berstatus demikian.

Beliau berkata, usaha yang dibuat bersama Kedutaan Besar Republik Indonesia itu sejajar dengan matlamat Kementerian Dalam Negeri untuk mengurangkan jumlah pendatang asing tanpa izin (PATI) di negara ini.
"Mengikut undang-undang, mereka adalah PATI walaupun memiliki pasport yang masih sah tempohnya.

Melalui Program Penyelarasan PATI, kami membantu mereka mencari majikan yang sah. Pendaftaran boleh dibuat di Kedutaan Besar Republik Indonesia mulai pertengahan bulan depan dan Jabatan Imigresen pula akan membantu melicinkan proses pemutihan itu," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar bersama Menteri Tenaga Kerja dan Transmigrasi Indonesia, H.A Muhaimi Iskandar selepas kedua-duanya mengadakan pertemuan hampir sejam di sini hari ini.

Sebelum ini, kerajaan turut memberi peluang kepada majikan untuk 'memutihkan' PATI yang ditangkap dalam operasi besar-besaran selepas mengambil kira keperluan tenaga mereka di sektor tertentu selain ditipu oleh ejen.

Tindakan secara berperikemanusiaan dalam hal tersebut perlu memandangkan terdapat majikan yang tertipu oleh syarikat penyumberan luar yang pekerja mereka tidak 'diputihkan' walaupun selepas menjelaskan bayaran.

-- UTUSAN

Read more...

Monday, September 16, 2013

Selamat Menyambut Hari Malaysia!


Hari Malaysia disambut pada 16 September setiap tahun untuk memperingati penubuhan persekutuan Malaysia di tarikh yang sama pada tahun 1963. Ia menandakan penyertaan bersama Tanah Melayu, Borneo Utara (kini Sabah), Sarawak dan Singapura bagi membentuk Malaysia.

Pembentukan persekutuan baru ini dirancangkan berlaku pada 1 Jun 1963 namun kemudiannya ditangguhkan ke 31 Ogos 1963 bagi membolehkan ia disambut bersama-sama dengan sambutan hari kemerdekaan ke-6.

Beberapa isu berkaitan dengan bantahan Indonesia dan Filipina untuk pembentukan Malaysia memperlambatkan pengisytiharan hingga ke 16 September pada tahun yang sama. Penangguhan itu juga dibuat bagi membolehkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu memperuntukkan masa membuat pungutan suara di Borneo Utara (kini Sabah) dan Sarawak.

Hari Malaysia merupakan cuti am di negeri Sabah sempena hari keputeraan Yang Di-Pertua Negeri. Walaupun pada awalnya Hari Malaysia bukan merupakan cuti am di Sarawak dan Semenanjung Malaysia, namun mulai tahun 2010, Hari Malaysia juga merupakan cuti am di semua negeri di Malaysia.


Pemasyhuran Malaysia

Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman membacakan Pemasyhuran Malaysia di Stadium Merdeka pada pagi 16 September 1963. Berikut adalah teks pemasyhuran yang dibaca beliau :

Dengan nama Allah Yang Maha Murah lagi Maha Mengasihani. Segala puji-pujian bagi Allah Tuhan seru sekalian alam dan selawat dan salam bagi junjungan kita Nabi Muhammad dan bagi sekalian keluarga serta sahabat-sahabatnya.
Bahawasanya oleh kerana suatu Perjanjian yang diperbuat pada Sembilan hari bulan Julai tahun Seribu Sembilan Ratus Enam Puluh Tiga antara Persekutuan Tanah Melayu, United Kingdom, Borneo Utara, Sarawak dan Singapura maka telah dipersetujui bahawa hendaklah disekutukan Negeri Sabah, Negeri Sarawak dan Negeri Singapura dengan Persekutuan Tanah Melayu yang mengandungi Negeri Pahang, Negeri Terengganu, Negeri Kedah, Negeri Johor, Negeri Sembilan, Negeri Kelantan, Negeri Selangor, Negeri Perak, Negeri Perlis, Negeri Pulau Pinang dan Negeri Melaka dan bahawa Persekutuan itu hendaklah dinamakan “Malaysia”.
Dan bahawasanya oleh kerana pihak-pihak dalam Perjanjian yang tersebut telah bersetuju bahawa mulai daripada penubuhan Malaysia maka Negeri Sabah, Negeri Sarawak dan Negeri Singapura hendaklah tamat daripada menjadi jajahan takluk Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen dan Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen tiada lagi mempunyai kedaulatan dan kuasa dalam ketiga-tiga buah Negeri itu;
Dan bahawasanya oleh kerana telah dimasyhurkan suatu Perlembagaan bagi Malaysia yang akan menjadi kanun yang muktmmad didalamnya;
Dan bahawasanya oleh kerana Perlembagaan yang tersebut itu telah diadakan syarat bagi menjaga keselamatan hak-hak dan keutamaan-keutamaan Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja serta hak-hak asasi dan kebebasan sekalian rakyat dan bagi mengekalkan keamanan dan kemesraan di dalam Malaysia sebagai Kerajaan yang mempunyai Raja yang berperlembagaan dan yang berdasarkan demokrasi cara berparlimen;
Dan bahawasanya oleh kerana Perlembagaan yang tersebut itu telah disahkan oleh suatu undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen Persekutuan Tanah Melayu dan Parlimen United Kingdom maka telah berjalanlah kuatkuasa Perlembagaan itu pada Enam Belas hari bulan September tahun Seribu Sembilan Ratus Enam Puluh Tiga;
Maka dengan nama Allah Yang Maha Murah lagi Maha Mengasihani, saya Tunku Abdul Rahman Putra ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah, Perdana Menteri Malaysia dengan persetujuan dan perkenan ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Yang Terutama Yang di-Pertuan Negeri Singapura, Yang Terutama Yang di-Pertua Negara Sabah dan Yang Terutama Gabenor Negeri Sarawak dengan ini mengistihar dan memasyhurkan bagi pihak umat Malaysia bahawa mulai daripada Enam Belas hari bulan September tahun Seribu Sembilan Ratus Enam Puluh Tiga bersamaan dengan Dua Puluh Lapan hari bulan Rabiul Akhir tahun Hijrah Seribu Tiga Ratus Lapan Puluh Tiga, Malaysia yang mengandungi Negeri Pahang, Negeri Terengganu, Negeri Kedah, Negeri Johor, Negeri Sembilan, Negeri Kelantan, Negeri Selangor, Negeri Perak, Negeri Perlis, Negeri Pualu Pinang, Negeri Melaka, Negeri Singapura, Negeri Sabah dan Negeri Sarawak dengan izin dan kehendak Allah Rabbul–Alamin akan kekal menjadi sebuah Negara demokrasi yang merdeka lagi berdaulat serta berasaskan kebebasan dan keadilan dan sentiasa mempertahankan serta memelihara keamanan dan kemesraan umatnya dan mengekalkan keamanan di antara segala bangsa di dunia ini.

Read more...

Saturday, September 7, 2013

Program 6P : Majikan Tertipu Dapat Kelonggaran KDN


PUTRAJAYA - Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan memberi kemudahan kepada majikan untuk mendaftarkan pekerja asing mereka supaya mendapat dokumen sah di bawah program 6P.

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, tindakan tersebut diambil setelah mengambil kira rayuan majikan yang tertipu, selain faktor kekurangan tenaga buruh di sektor-sektor tertentu.

"Kementerian mendengar jelas rayuan majikan yang mereka amat memerlukan tenaga buruh, kerana mereka ditipu oleh syarikat pembekal..mereka telah membayar kepada syarikat pembekal tapi mereka tak dapat dokumen (pekerja asing).

"Jadi saya tak boleh hukum mereka. Saya terpaksa bertimbang rasa dalam masa yang sama. Kerana mereka telah membayar di antara RM 3000 hingga RM 8000 untuk mendapatkan pekerja ini, tapi dokumen tak dapat dikeluarkan. Mereka (majikan) tak patut dihukum.

"Syarikat pembekal yang akan diambil tindakan oleh kita," katanya dalam sidang media selepas menghadiri Seminar La Tahzan di sini, pagi semalam.

Menurut Zahid, sehingga kini seramai lebih 5000 pendatang asing tanpa izin (PATI) telah ditahan oleh Jabatan Imigresen dan jabatan penguatkuasaan lain.

Ops 6P bersepadu dijalankan menerusi beberapa fasa dan telah dimulakan sejak 22 Jun lalu sehingga 31 Disember ini bagi memburu 400,000 pati di negara ini.

6P terbahagi kepada enam fasa iaitu Pendaftaran, Pemutihan, Pengampunan Pemantauan Penguatkuasaan dan Pengusiran yang dilaksanakan oleh KDN bagi menangani kebanjiran pendatang asing tersebut ke Malaysia.

-- Antarapos.com

Read more...

Monday, September 2, 2013

Operasi Buru PATI Besar-Besaran Bermula

 PEGAWAI Imigresen memeriksa PATI yang ditahan di tapak pembinaan di Kota Seriemas, Nilai, Negeri Sembilan, semalam. 

Lebih 1,000 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam operasi menggempur PATI dikenali Ops 6P Bersepadu yang dilancarkan kerajaan di seluruh negara secara besar-besaran bermula tengah malam tadi.
 
Ops 6P Bersepadu yang akan dijalankan menerusi beberapa fasa sehingga 31 Disember ini adalah bagi memburu 400,000 PATI selain 45,000 majikan yang masih berdegil menggaji golongan itu.

Di PUTRAJAYA, seramai 71 PATI ditahan di dua lokasi serbuan iaitu di Bukit Raja, Klang dan Kota Serimas, Putrajaya dalam fasa satu operasi tersebut bermula pukul 12 tengah malam tadi sehingga pukul 6 pagi.

Operasi itu disertai seramai 150 anggota melibatkan Imigresen, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

Timbalan Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Imigresen, K. Saravanan berkata, kesemua PATI yang ditahan itu adalah daripada 160 orang yang diperiksa dan merupakan warga Indonesia, Bangladesh, Nepal dan Myanmar.

"Hasil pemeriksaan, mereka didapati tiada dokumen pengenalan diri, disyaki menggunakan pas lawatan palsu dan tinggal melebihi tempoh ditetapkan.

"Kita dapati masih ada majikan ingkar arahan dengan menggaji PATI, justeru operasi ini adalah amaran keras buat mereka untuk berhenti berbuat demikian sebelum ditangkap," katanya ketika ditemui selepas tamat operasi.

Menurut Saravanan, Ops 6P Bersepadu yang melibatkan 135,000 anggota pelbagai agensi di seluruh negara itu merupakan permulaan untuk mengesan saki baki PATI yang gagal menjalani proses pemutihan yang dijalankan kerajaan sebelum ini.

Pada 23 Ogos lalu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengumumkan akan melakukan operasi bersepadu besar-besaran untuk menangkap PATI yang bekerja tanpa permit di seluruh negara bermula 1 September.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, operasi melibatkan Imigresen, polis serta agensi lain di bawah kementerian itu akan memberi tumpuan kepada kawasan perladangan, kilang, perniagaan dan tapak pembinaan.

Di SEREMBAN, seramai 621 PATI warga Bangladesh, Indonesia, Vietnam dan Pakistan, berusia antara enam hingga 60 tahun ditahan dalam operasi serentak di lapan buah daerah di negeri ini bermula pagi ini sehingga petang ini.

Pengarah Jabatan Imigresen negeri, Faizal Fazri Othman berkata, operasi dijalankan di beberapa lokasi tumpuan seperti stesen bas, komuter, pusat beli-belah, rumah kedai dan tapak pembinaan.

Di KAMPAR, seramai 12 PATI warga Indonesia, Pakistan dan Bangladesh termasuk seorang wanita ditahan hasil pemeriksaan 114 orang dalam operasi di rumah kongsi di Bandar Baru Kampar dekat sini awal pagi ini.

Timbalan Penolong Pengarah Kanan Imigresen Perak, Wan Mahmud Zuhdi Wan Hassan berkata, daripada yang ditahan, 10 orang didapati tidak memiliki dokumen perjalanan manakala bakinya tinggal lebih masa dan memalsukan pas lawatan kerja sementara.

Di MELAKA, seramai 414 PATI ditahan daripada 925 warga asing yang diperiksa oleh Imigresen negeri dalam operasi di sebuah pangsapuri di Bachang dan sebuah pusat hiburan di Taman Melaka Raya di sini malam tadi.

Pengarah Jabatan Imigresen negeri, Kamalludin Ismail berkata, daripada tangkapan itu, seramai 203 orang ialah warganegara Indonesia, Myanmar (100), Nepal (63), Bangladesh (21), China (11), India (10), Vietnam (6) dan tempatan (1).

Di JOHOR BAHRU, Imigresen Johor menahan seramai 127 PATI warga Kemboja, Vietnam, Indonesia dan Myanmar dalam dua operasi serentak di Ulu Tiram di sini dan Muar awal pagi ini.

Penolong Pengarah Imigresen Johor, Masri Adul berkata, mereka yang ditahan dalam operasi bermula pukul 1 pagi itu terdiri daripada 65 lelaki, wanita (40), kanak-kanak lelaki (10) dan kanak-kanak perempuan (13).

Di KUANTAN, Jabatan Imigresen Pahang menahan seramai 49 PATI daripada 139 warga asing yang diperiksa dalam operasi di sebuah tapak pembinaan di Gambang di sini awal pagi ini.

Ketua operasinya, Razali Ahmad berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada 31 warga Bangladesh, Myanmar (12) dan Indonesia (3) kerana tidak mempunyai dokumen sah, melanggar syarat permit dan memiliki dokumen palsu.

Di KUCHING, Jabatan Imigresen negeri menahan seramai 90 PATI dalam serbuan di beberapa lokasi seperti ladang, rumah urut dan pasar di sekitar bandar ini dalam operasi bermula tengah malam tadi.
 
Pengarahnya, Datuk Robert Lian berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada 69 warga Indonesia, Bangladesh (10), India (8) dan masing-masing seorang Myanmar, Vietnam serta Pakistan.
-- UTUSAN

Read more...

Gerakan Buru PATI Bukan Operasi Bermusim - Ahmad Zahid


SHAH ALAM 1 Sept. - Kementerian Dalam Negeri (KDN) menegaskan gerakan memburu pendatang asing tanpa izin (PATI) secara besar-besaran yang bermula hari ini bukanlah satu operasi yang bermusim.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebaliknya mengingatkan semua pihak bahawa operasi tersebut akan tetap diteruskan bagi memastikan negara bersih daripada PATI.

"Kita akan tangkap, dakwa mereka sebelum dihantar pulang ke negara asal oleh kedutaan masing-masing," katanya ketika ditemui pada majlis Ramah Mesra dan Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Kelab Anak Rantau Bagan Datoh (Kerabad) di sini malam ini. -- UTUSAN ONLINE

Read more...

Sunday, September 1, 2013

Gempur Pendatang! Lebih Setengah Juta PATI Diburu

 (Gambar hiasan)

Mulai malam tadi, pihak berkuasa menggempur kawasan persembunyian pendatang tanpa izin dalam operasi bersepadu besar-besaran, di seluruh negara.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang enggan memeprincikan kawasan berkenaan, berkata pihaknya sudah mengenal pasti semua lokasi terbabit.

Beliau berkata, bagi menampung pertambahan tahanan pendatang tanpa izin berikutan operasi itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyediakan depoh khas di Jabatan Imigresen seluruh negeri.

Operasi tersebut melibatkan beberapa agensi KDN seperti Polis DiRaja Malaysia, RELA, Jabatan Pertahanan Awam, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Imigesen malah akan membabitkan Angkatan Tentera Malaysia.

"Kita mengadakan gerakan besar-besaran ini kerana pihak berkuasa tidak mahu berkompromi lagi dengan mereka kerana masa secukupnya sudah diberikan.

KDN sudah berbincang dengan semua duta dan pesuruhjaya tinggi negara terbabit, mereka tahu kita akan lanksanakan tindakan ini secara serius sehingga 100 peratus pendatang tanpa izin ini berjaya diberkas", katanya ketika ditemui selepas menghadiri sambutan Hari Kemerdekaan, semalam.

Beliau berkata, menerusi rekod risikan pihak berkuasa, setakat ini hampir setengah juta daripada pendatang tanpa izin ini dikesan masih berada di Malaysia.

"Sebahagiannya dipercayai sudah meninggalkan negara sebelum Aidilfitri kerana mereka tahu KDN tidak akan beri amaran tetapi hanya akan ambil tidakan secara serius" Katanya.

Akhbar sebelum ini melapurkan operasi besar-besaran membanteras pendatang asing tanpa izin di seluruh negara akan dilaksanakan yang mana telah bermula malam semalam.

Beliau juga berkata, operasi tersebut juga bertujuan untuk menyekat majikan daripada menggaji pendatang tanpa izin sehingga boleh memperlakukan sesuka hati tanpa menjaga kebajikan mereka.

-- BH Online

Read more...
Kembali ke atas

Sila lihat ARKIB BLOG untuk senarai artikel yang telah disiarkan.
2009 © Hak Cipta RELA Platun 0464

RELA 0464 tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang kehilangan atau kerosakan yang diakibatkan oleh penggunaan maklumat yang dicapai daripada laman ini. Anda adalah dilarang mengambil, meniru, mencetak atau apa-apa yang seumpanya dari laman ini tanpa kebenaran terlebih dahulu daripada pihak Blogmaster.

  © 2009 HAK CIPTA RELA 0464

Back to TOP